Sunday 22 December 2013

DILEMA MASYARAKAT ISLAM



DILEMA MASYARAKAT ISLAM
  
MUSLIM ATAU ISLAMIST: Polemik Apakah?
Kebelakangan ini, seiring dengan perkembangan budaya diskusi, pelbagai istilah-istilah asing dibawa masuk atau dialih bahasa ke dalam BM tanpa terjemahan yang lengkap dan tepat, mungkin kerana dalam BM tiada satu istilah khusus untuk menggambarkan maksud sesuatu istilah yang diingini tersebut. Ada juga yang ada inferiority complex, mungkin tanpa sedar,  terutama bagi yang masih baru terdedah dengan wacana-wacana intelektual, dan berasa takjub dengan isi perbincangan( mungkin kerana istilah-istilah baru yang digunakan tidak pernah diketahuinya, maka hadir rasa takjub tanpa sedar), jadi mereka pun lebih gemar mengunakan istilah-istilah asing tersebut dalam bahasa asalnya walaupun wacana/ diskusi itu dibuat dalam BM,  kerana mereka beranggapan yang demikian lebih menggambarkan ketingggian intelektual  apabila pendengar tertanya-tanya apa maksud istilah-istilah tersebut, dan ini juga berlaku dengan meluas mungkin tanpa sedar. Lantaran itu, bertebaran lah bahasa asing ke dalam BM, yang lama-kelamaan, generasi akan datang tidak dapat membezakan pun yang manakah bahasa asal kita, yang mana bahasa pinjaman. Namun, yang ingin dibicarakan disini bukan kepentingan BM, tetepi kekeliruan yang timbul akibat dari istilah yang digunakan tanpa penjelasan yang lengkap. Antaranya ialah kekeliruan akibat dari istilah MUSLIM DAN ISLAMIST.

          Islamist, atau bila di Melayukan menjadi Islamis, biasanya menjadi bahan hentaman dan lawak jenaka bagi mereka-mereka yang merasakan diri mereka lebih terkedepan, atau dipanggil progresif( satu lagi istilah asing yang dipinjam), dan dalam bahasa diskusi mereka biasanya lebih membawa  kepada  maksud yang negatif, yang mana pada mereka, bila disebut Islamis itu, yang tergambar adalah jumud, terkebelakang, idealistik, pemonopoli kebenaran, tidak realistik, hipokrit,  retorik dan sebagainya. Tidak dinafikan memang ada yang bersifat begitu, namun memukul rata semuanya adalah tindakan yang tidak bertamadun,  dan jauh sekali menggambarkan nilai intelektual. Anehnya, ketika sekelompok Islamis menghentam aliran-aliran asing itu, khasnya yang berorientasikan sekularisma, tiba-tiba pula mereka bangkit mempertahankan aliran-aliran itu dengan berhujah menghormati kepelbagaian, cuba cari yang positif, dan paling penting, mereka mengatakan jangan pukul sama rata, tidak semua macam itu. Ini pada hemat saya merupakan satu sikap hipokrit yang nyata. Bagi pihak Islamis pula, sebagai respon terhadap pelbagai tuduhan, cemuhan, hinaan tersebut, terlebih reaksi pula. Ada yang sampai tidak menerima langsung pengistilahan kelompok-kelompok yang membawa pemikiran/pendekatan berbeza, walaupun dikalangan Islamis sendiri, dengan berhujah Islam itu satu, sama seperti halnya Muslim, tidak ada Muslim Demokrat, Muslim Progresif dan sebagainya, hatta dilabel dengan Islamis itu sendiri pun mereka tidak bersetuju. Namun, tahukah kita dari mana datangnya istilah Islamis itu?? Apakah peristiwa yang berlaku disebalik kemunculan istilah Islamis itu?? tahukah kita bahawa disebalik kemunculan istilah Islamis itu, terdapat peristiwa yang boleh kita banggakan, peristiwa yang menggambarkan betapa toleransinya mereka-mereka yang disebut sebagai Islamis itu, peristiwa yang menafikan tuduhan keji bahawa Islamis itu gemar dan hanya tahu mengkafirkan pihak yang tidak sehaluan dengan mereka.
        
           Islamis berasal dari istilah bahasa Inggeris, Islamist yang membawa maksud secara bahasanya ; a person who belives strongly in the teachings of Islam; seseorang yang percaya dengan teguh kepada ajaran Islam[1]. Manakala Muslim pula membawa maksud, a person whose religion is Islam; seseorang yang agamanya adalah Islam[2]. Dalam bahasa Melayu pula, Muslim bermaksud , orang lelaki yang beragama Islam[3], untuk wanita dipanggil Muslimah. Asalnya kalimah Muslim dalam BM juga adalah pinjaman dari bahasa Arab. Cuma dalam Bahasa Arab, kalimah Muslim itu sahaja sudah cukup untuk menggambarkan sesiapa yang beragama Islam, samada lelaki atau perempuan, dan dalam pengertian inilah kalimah Muslim dipinjamkan juga  kedalam BI. Manakala istilah Islamis pula tidak dijumpai dalam kamus BM, bukti bahawa ia adalah istilah baru yang dipinjam kedalam  BM. Manakala dalam bahasa Arab, ia dipanggil Islamiyyun. Sekarang ini, kita akan membahaskan, dari manakah datangnya istilah Islamist, dari pihak barat/orientalis atau dari manakah? Seperti yang penulis jelaskan diatas bahawa disebalik istilah Islamis itu, ada kisahnya yang tersendiri yang boleh dibanggakan oleh mereka-mereka yang digelar Islamis, bahkan mereka patut berbangga dengan gelaran Islamis tersebut.

         Dari sudut sejarahnya,di Mesir, sebelum  tahun 1950-an, orang Islam bangkit berjihad menentang British, kerana situasinya jelas, British yang bukan Islam datang untuk menjajah mereka, maka mereka wajib berjihad mempertahankan tanah air mereka. Tetapi, pasca kolonialisasi, 1950 ke atas, selepas revolusi, menyaksikan Jamal Abd Nasir memegang kuasa, maka ramailah ahli-ahli IM dipenjarakan.  Kalau dulu, mereka ditekan oleh British, maka sekarang mereka ditekan oleh pemerintah yang beragama Islam juga. Kalau dulu situasinya jelas, iaitu penjajah adalah orang kafir, dan kita adalah orang Islam, maka kita berjihad menentang mereka. Dan sekarang orang Islam juga yang melawan kita. Inilah yang bermain dalam fikiran mereka-mereka yang berada dalam tahanan. Lantas, muncul lah anggapan-anggapan, masih  Islam kah Jamal Abd Nasir itu? Sebahagian daripada mereka beranggapan, Jamal Abd Nasir telah menjadi kufur, kerena perbuatan dia telah meletakkannya di luar Islam. Maka dikalangan gerakan Takfir, mereka berkata, sekiranya dia Islam, maka dia patut bertindak seperti orang Islam. Tetapi sekiranya  dia menekan, menyeksa bahkan membunuh orang-orang Islam, maka dia telah menjadi kafir. Maka, berdasarkan anggapan ini, bermakna darahnya adalah halal, kita boleh membunuhnya sekiranya perlu untuk menjatuhkannya dari kuasa. Manakala sekelompok lagi, yang mana merupakan pengikut-pengikut Hasan Al Banna, menyatakan , tidak benar tanggapan itu, dia masih lagi seorang Muslim, walauapapun dia buat, dia masih lagi islam, dan kita juga Islam, cuma kita terlibat dalam projek social dan politik, maka kita semua adalah Muslim, dan kita adalah Islamiyyun[4]. Maka dari sinilah munculnya istilah Islamiyyun, ataupun  Islamist/Islamis. Betapa mulianya akhlak mereka-mereka yang digelar Islamis itu, walaupun dalam keadaan diseksa sekalipun, mereka tetap memandang manusia, khususnya orang Islam, dengan pandangan rahmat. Bayangkan, sekiranya ketika itu pengikut Hasan al Banna mengishtiharkan bahawa Jamal Abd Nasir telah kafir, maka kita akan menyaksikan perang saudara yang dahsyat di Mesir ketika itu, bahkan mungkin sahaja berlanjutan sehingga kini.
Maka, sejak itu, meraka-mereka yang terlibat dalam kumpulan yang secara aktif menjalankan projek social/kemasyarakatan dan politik, digelar dengan Islamis, manakala kumpulan mereka dikenali sebagai Gerakan Islam.Sebab itulah saya  hairan, bilamana membaca buku Prof Yusuf Al Qaradawi, beliau juga menggunakan istilah Islamiyyun[5], sedangkan beliau adalah seorang yang sangat teliti dalam bab istilah[6].  Maka boleh disimpulkan disini bahawa istilah Islamiyyun/Islamist datang dari dalam, maknanya dari kalangan orang Islam sendri, dan bukannya dari pihak luar( barat). Tetapi, lama-kelamaan, istilah itu menjadi inklusif, dan diguna pakai kepada semua yang terlibat dengan pergerakan untuk mengembalikan Negara Islam, tidak kira lah samada mereka itu dari kalangan pelampau dan sebagainya.  Maka untuk membezakan pula antara kelompok-kelompok pejuang Islam itu, mereka menambah-nambah pada istilah Islamist itu dengan pelbagai istilah lagi, mengikut sifat-sifat yang ditunjukkan oleh kumpulan-kumpulan Islamist tersebut, contohnya Islamist Democrat, Islamist Extreme dan sebagainya, padahal istilah Islamist itu sendiri telah memisahkan antara pejuang-pejuang Islam yang benar-benar mengambil pendekatan wasatiy dan waq-‘iyyah dengan mereka-mereka yang keterlaluan dalam menafsirkan agama ini.

Maka berbanggalah kalian dengan gelaran Islamis itu, TAKBIR!!



[1] Oxford Advanced Learner’s Dictionary, 7th Edition, Oxford University Press 2005
[2] Ibid
[3] Kamus Dewan Edisi Keempat Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008
[4] Prof Tariq Ramadhan, cucu Imam Hassan Al Banna, dalam wacana Post-Islamic Revolution, anjuran Islamic Renaissance Front(IRF), bertempat di ISTAC.
[5] Agama Dan Politik: Wawasan Ideal dan Menyanggah Kekeliruan Pemikiran Sekular-Liberal, Prof Dr Yusuf Al Qaradawi, Alam Raya Enterprise 2009, Penterjemah; Ibnu Sham, cetakan pertama Jun 2009
[6] Boleh rujuk buku beliau, Islam dan Sekularisma, CV Pustaka Setia, Bandung, Penterjemah; Amirullah Kandu, Editor; Drs Maman Abd Majid,Cetakan Pertama, m/s 65. Karya asal beliau adalah Al Islam Wal ilmaniyyah wajhan li wajhin, Maktabah  Wahbah, Kairo, Mesir, cetakan ke 7, 1417 H.
Beliau membahaskan ketidaktepatan terjemahan Sekularisma kpd Al-ilmaniyyah(BA) kerana bagi beliau pengertian secara konsep Sekularisme itu langsung tidak sesuai dengan ilmu, bahkan lebih sesuai diterjemah dengan Al-ladiniyyah(tanpa agama).

1 comment:

  1. jadi, anda islamist atau muslim? hehe..
    kemah blog pokjak!
    nice entry

    ReplyDelete