Sunday 20 April 2014

POLITIK ERA KHULAFA AR RASYIDIN: ABU BAKAR AS SIDDIQ RA


“YANG WAJIB DITAKUTI OLEH PEMERINTAH BELANDA BUKANLAH ISLAM SEBAGAI AGAMA, TETAPI ISLAM SEBAGAI DOKTRIN POLITIK. KUMPULAN ITU DIPIMPIN OLEH SEGELINTIR YANG FANATIK, DIMAKSUDKANNYA ADALAH PARA SARJANA ISLAM YANG BERJUANG BAGI MENEGAKKAN CITA-CITA PAN ISLAMIYAH”- Snouck Hurgronje, orientalis Belanda


 SELEPAS kewafatan Rasulullah SAW,  seluruh umat Islam berada dalam situasi yang getir. Sangat getir kerana Bapa Perpaduan bangsa Arab sudah tiada. Bangsa Arab yang dulunya hidup dalam puak-puak ataupun dikenali dengan kabilah-kabilah, sering berperang sekiranya terdapat apa-apa persengketaan, walau perkara-perkara kecil. Tetapi, selepas kedatangan Rasulullah SAW, seluruh bangsa Arab bersatu dibawa sinaran cahaya Islam. Dan kini pembawa cahaya itu sudah tiada.  Zaman Khulafa Ar Rasyidin itu  kritikal kepada umat Islam zaman kini, kerana itulah yang menjadi bukti samada Islam itu adalah agama kerohanian semata-mata ataupun agama yang menjadi cara hidup manusia, yang tentu sekali tidak terlepas dari aspek politik. Ini kerana kelompok-kelompok sekularis sering mengatakan bahawa pemerintahan Rasulullah itu adalah pemerintahan kerohanian semata-mata, terutama sekali apabila keluarnya buku karangan Syeikh Ali Abd Raziq, Islam Dan Dasar Pemerintahan, yang mana menyaksikan serangan terhadap Islam datang bertubi-tubi. Kalau sebelum itu kebanyakan serangan datang dari luar, tidak keterlaluan jika dikatakan selepas terbitnya buku Islam Dan Dasar Pemerintahan itu, serangan datang dari dalam, iaitu dari kalangan orang-orang Islam sendiri. Buku itu, walaupun sudah ditarik balik oleh pengarangnya, yang mana mengatakan ‘Buku itu adalah kalimat syaitan yang dilemparkan ke atas lidahku’, tetapi kesannya masih terasa sampai hari ini. Jadi amat penting untuk kita mengkaji apa yang berlaku pada zaman Khulafa Ar Rasyidin, samada mereka hanya memerintah sekadar melunaskan tuntutan duniawi sahaja, ataupun pemerintahan mereka itu adalah berasaskan  urusan agama.  

ISLAM DAN POLITIK
            Sudah terang lagi bersuluh bahawa hubungan antara agama dan negara dalam Islam tidak boleh terpisah dan tidak boleh dipisahkan lagi. Terlalu banyak keterangan-keterangan yang menunjukkan bahawa pemerintahan Rasulullah SAW adalah pemerintahan negara berdasarkan wahyu. Antara bukti yang nyata adalah terdapatnya piagam Madinah, ataupun perlembagaan Madinah, yang juga dikatakan merupakan perlembagaan bertulis yang pertama dalam sejarah, perutusan surat kepada ketua-ketua negara. Sepanjang sejarah, umat Islam tidak pernah mengenali adanya pemisahan antara agama dan dunia, agama dan politik, atau agama dan negara seperti sekarang ini. Dulu Rasulullah SAW adalah pemegang tampuk pemerintahan samada agama ataupun dunia, kerana itu fuqaha kemudian membahagikan ajaran dan sikap baginda menjadi tiga. Pertama; baginda sebagai Nabi yang menyampaikan wahyu Allah. Kedua; baginda sebagai hakim yang membuat keputusan hukum. Ketiga; baginda sebagai ketua negara yang menangani persoalan bangsa[1]. Begitu juga khalifah-khalifah sesudah Rasulullah SAW sejak zaman Khulafa ArRasyidin, Dinasti Ummayyah, Dinasti Abbasiyah, Dinasti Uthmaniyah dan dinasti-dinasti lainnya sehinggalah khilafah dihapuskan pada zaman tahun 1924 [2]. Jadi, tulisan ini tidak berhasrat untuk membahaskan secara panjang lebar, sekadar membawa sedikit-sebanyak kisah-kisah atau peristiwa-peristiwa zaman Abu Bakar As siddiq RA.

PERLANTIKAN ABU BAKAR SEBAGAI KHALIFAH YANG PERTAMA
            Selepas kewafatan Rasulullah SAW, pelantikan Abu Bakar RA dibuat dengan segera oleh para sahabat RA, bertempat di Thaqifah Bani Saidah. Suasana semasa pelantikan agak tegang, kerana masing-masing Ansar dan Muhajirin bertegas bahawa khalifah mestilah DARI kalangan mereka. Kaum Ansar berpendapat mereka lebih layak dipilih kerana jihad mereka bersama Rasulullah SAW  dengan penuh pengorbanan. Allah memuji mereka di dalam Al Quran dan disokong oleh hadis-hadis Rasulullah. Mereka mencalonkan pemimpin mereka iaitu Saad bin Ubadah. Kaum muhajirin pula berpendapat bahawa mereka juga layak kerana mereka adalah kaum yang pertama memeluk Islam, berdakwah sejak permulaan, menghadapi ujian dahsyat ketika di Makkah, seterusnya berhijrah dan berjihad bersama-sama Rasulullah SAW. Namun begitu, ketegangan dapat dielakkan. Pemimpin kedua-kedua belah pihak bertemu Abu Bakar RA dan menuju Thaqifah Bani Sa’idah. Ketika itulah Abu Bakar menunjukkan ketokohannya memimpin dengan berjaya menenangkan khalayak dengan ucapannya. Selepas itu, beliau mencalonkan Umar RA dan Abu Ubaidah Al Jarrah menjadi khalifah. Namun, selepas itu, Umar dan Abu Ubaidah pula bangun mencalonkan Abu Bakar RA, diikuti pula oleh sahabat-sahabat Ansar dan Muhajirin yang lain. Lalu rasmilah Abu Bakar RA menjadi khalifah[3]

LANGKAH PERTAMA
            Perkara pertama yang dibuat oleh Abu Bakar adalah membentuk kabinet kerajaan ataupun jemaah menteri ataupun ahli mesyuarat. Ini sama seperti yang diamalkan di zaman  moden ini. Antara jawatan-jawatan yang diperuntukkan adalah berkenaan urusan kehakiman, yang diserahkan kepada Umar Al Khattab RA, urusan kewangan , Abu Ubaidah RA, urusan setiausaha negara, Zaid bin Thabit , dan kadang-kadang dibantu oleh Uthman bin Affan RA dan Ali Bin Abi Talib RA. Jika diperhatikan, orang-orang yang dilantik itu merupakan sahabat-sahabat besar RAsulullah SAW, menunjukkan bahawa Abu Bakar mementingkan penerimaan orang ramai terhadap kabinetnya, disamping keupayaan yang memang sudah terbukti oleh orang yang dilantik ke dalam kabinetnya[4].

MENGHADAPI GOLONGAN MURTAD     
            Ini adalah antara cabaran yang paling getir kepada umat Islam sepeninggalan Rasulullah SAW, dan peristiwa yang benar-benar menguji kewibawaan Abu Bakar RA sebagai seorang khalifah.
            Aisyah RAH mengatakan bahawa kewafatan Rasulullah SAW adalah seperti perginya pengembala kambing meninggalkan kambing gembalaannya, di malam gelap gelita dan hujan lebat[5]. Perselisihan mula terjadi, walaupun sedikit, sehinggalah  membawa kepada murtad, ditambah lagi kewujudan nabi-nabi palsu seperti Musailamah Al Kazab.
            Golongan-golongan menyeleweng dan murtad itu terdiri daripada berbagai-bagai keadaan. Pertama, mereka keluar Islam sepenuhnya dan kembali kepada agama nenek moyang mereka. Mereka ini adalah dikalangan bangsa Arab yang akidah mereka rapuh, masuk Islam ketika hayat Rasulullah SAW kerana takutkan kemenangan Islam atauoun mahukan harta-harta rampasan perang yang dibahagikan oleh Rasulullah SAW. Mereka menggangap dengan kewafatan Rasulullah SAW, Islam sudah mula lemah.
            Kedua, mereka-mereka yang menjadi pengikut kepada nabi-nabi palsu, pembohong besar. Mereka terdiri daripada Bani Toe, Bani Asad dan Bani Ghoftan, yang mengikuti pembohong besar Tulaihah bin Alkhuwailid Al asadi. Musailamah Al kazab pula diikuti oleh Bani Hanifah, dan Sijah, nabi palsu wanita, diikuti oleh Bani Tamim, Tahglib dan Robiah.
            Ketiga, mere-mereka yang menafikan kewajipan membayar zakat. Walaupun mereka masih bersembahnyang, mereka menolak bahawa urusan harta juga termasuk dalam kewajipan yang perlu ditunaikan[6].
            Periatiwa kemunculan Nabi palsu itu diberitakan oleh Rasulullah SAW sendiri, melalui wahyu daripada Allah yang berbentuk mimpi. Nabi SAW menyebutkan dalam khutbahnya,
            “Wahai semua orang yang hadir, aku bermimpi melihat Lailatul Qadar, kemudian diliupakan dan aku bermimpi dua gelang emas di lenganku dan aku bencikannya. Kemudian aku meniup ke arah kedua-duanya, lalu kedua-dua gelang itu tercabut. Maka aku tafsirkan mimpi itu dengan dua pembohong, satu yang berada di Yaman( Tulaihah) dan satu lagi berada di Yamah( Musailamah)[7].
            Lalu Abu Bakar RA memanggil sahabat-sahabat untuk bermesyuarat. Dan timbul satu pendapat yang mengatakan biarkanlah mereka-mereka yang tidak menunaikan zakat itu, kerana mereka masih bersembahyang, dan dipersetujui oleh Umar RA. Lalu, dengan tegas Abu Bakar RA menjawab bahawa dia akan memerangi mereka-mereka yang membezakan kewajipan solat dan zakat, dan dia akan memerangi mereka itu walaupun berseorangan. Lalu, barulah sahabat-sahabat sedar dan menyokong keputusan Abu Bakar RA tersebut.
            Lalu perancangan diatur dengan rapi, dan golongan yang murtad itu diperangi secara menyeluruh. Kisah peperangan ini sangat panjang, cukuplah disini sekadar kesimpulan bahawa tentera Islam berjaya menumpaskan golongan murtad itu, dan berjaya mengembalikan keamanan di seluruh wilayah Islam.  Peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa dalam Islam, urusan agama adalah urusan negara. Ini kerana murtad itu adalah urusan agama, tetapi Abu Bakar RA menanganinya dengan kuasa ketenteraan, yang merupakan urusan negara.


SISTEM KHILAFAH
           
                  Ini adalah bahagian terakhir dalam tulisan yang ringkas ini. Dalam bahagian ini, kita akan melihat secara ringkas sistem pemerintahan Abu Bakar RA melalui beberapa aspek.
           
          Pertama, pentadbiran. Keluasan negara Islam zaman Abu Bakar RA hanya merangkumi Semenanjung Arab, yang keseluruhannya dikuasai Islam. Khalifah membahagikannya kepada beberapa wilayah. Setiap wilayah dilantik ketua pentadbiran yang dinamakan sebagai Amir( gabenor). Mereka menjadi imam sembahyang, hakim, menguruskan kewangan, keamanan dan pemerintahan tentera, dibantu oleh orang yang mahir dalam bidang masing-masing[8].
          Kedua adalah aspek kehakiman dan perundangan. Abu BBakar ra secara langsung menjadi hakim. Walaupun Umar ra juga ditugaskan menjadi hakim, namun tidak ada kes yang dikendalikan kerana ramai yang tidak berani berdepan denghnnya. Khalifah juga menugaskan peranan hakim kepada Uthman ra, Ali b Abi Talib, kadang-kadang kepada Abu Ubaidah dan Zaid bin Thabit rhm[9].
            Ketiga dalah aspek kewangan. Sumber kewangan pada zaman Abu Bakar ra adalah sama dengan pada zaman Rasulullah SAW, iaitu zakat, ghanimah( rampasan perang), faie( harta yang diambil tanpa perang), jizyah( cukai yang dikenakan terhadap non-muslim) dan  sedekah daripada sesiapa sahaja. Untuk tujuan pengurusan kewangan, Abu Bakar ra menubuhkan Baitul Mal, iaitu tempat menyimpan harta kerajaan yang terletak di Sanah tanpa pengawal, lalu dicadangkan kepadanya supaya meletakkan pengawal. Kemudian , Baitul Mal itu dipindahkan ke rumah khalifah[10]. Ini juga menunjukkan hubungan secara langsung antara agama dan negara, kerana zakat itu merupakan perintah agama, dan dijalankan sebagai urusan negara.

KESIMPULAN
           
                   Melalui ringkasan diatas, jelas menunjukkan bahawa agama dan negara tidak dapat dipisahkan. Seperti kata-kata Imam Malik rhm, sekiranya Nabi SAW mengajarkan ummatnya beristinja, mana mungkin urusan pentadbiran negara tidak diajar. Juga lenyaplah hujjah batil golongan yang mengatakan bahawa pemerintahan khalifah-khalifah selepas Rasulullah SAW adalah bersifat keduniaan semata-mata, melalui tindakan-tindakan yang telah ditunjukkan oleh Abu Bkar ra. Oleh itu, sebarang percubaan untuk memisahkan agama dan politik terhadap ummat Islam adalah sia-sia, kerana akan sentiasa ada sekelompok daripada umat ini yang akan bangkit menentang penyelewangan, mereka itu tidak akan dimudharatkan oleh musuh-musuh mereka, sehinggalah Allah mendatangkan urusannya. Wallau’alam.     



[1] Agama Dan Politik, Dr Yusof Al Qaradawi, m/s 125
[2] ibid, m/s 125
[3] Taktik Dan Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar Rasyidin, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, m/s 14
[4] ibid, m/s 39
[5] ibid, m/s 54
[6] ibid, m/s 57-59
[7] ibid, m/s 59
[8] ibid, m/s 214
[9] ibid, m/s 216
[10] ibid, m/s 220

No comments:

Post a Comment