“YANG WAJIB
DITAKUTI OLEH PEMERINTAH BELANDA BUKANLAH ISLAM SEBAGAI AGAMA, TETAPI ISLAM
SEBAGAI DOKTRIN POLITIK. KUMPULAN ITU DIPIMPIN OLEH SEGELINTIR YANG FANATIK,
DIMAKSUDKANNYA ADALAH PARA SARJANA ISLAM YANG BERJUANG BAGI MENEGAKKAN
CITA-CITA PAN ISLAMIYAH”- Snouck Hurgronje, orientalis Belanda
SELEPAS kewafatan
Rasulullah SAW, seluruh umat Islam
berada dalam situasi yang getir. Sangat getir kerana Bapa Perpaduan bangsa Arab
sudah tiada. Bangsa Arab yang dulunya hidup dalam puak-puak ataupun dikenali
dengan kabilah-kabilah, sering berperang sekiranya terdapat apa-apa
persengketaan, walau perkara-perkara kecil. Tetapi, selepas kedatangan
Rasulullah SAW, seluruh bangsa Arab bersatu dibawa sinaran cahaya Islam. Dan
kini pembawa cahaya itu sudah tiada.
Zaman Khulafa Ar Rasyidin itu kritikal kepada umat Islam zaman kini, kerana
itulah yang menjadi bukti samada Islam itu adalah agama kerohanian semata-mata
ataupun agama yang menjadi cara hidup manusia, yang tentu sekali tidak terlepas
dari aspek politik. Ini kerana kelompok-kelompok sekularis sering mengatakan
bahawa pemerintahan Rasulullah itu adalah pemerintahan kerohanian semata-mata,
terutama sekali apabila keluarnya buku karangan Syeikh Ali Abd Raziq, Islam Dan
Dasar Pemerintahan, yang mana menyaksikan serangan terhadap Islam datang
bertubi-tubi. Kalau sebelum itu kebanyakan serangan datang dari luar, tidak
keterlaluan jika dikatakan selepas terbitnya buku Islam Dan Dasar Pemerintahan
itu, serangan datang dari dalam, iaitu dari kalangan orang-orang Islam sendiri.
Buku itu, walaupun sudah ditarik balik oleh pengarangnya, yang mana mengatakan
‘Buku itu adalah kalimat syaitan yang dilemparkan ke atas lidahku’, tetapi
kesannya masih terasa sampai hari ini. Jadi amat penting untuk kita mengkaji
apa yang berlaku pada zaman Khulafa Ar Rasyidin, samada mereka hanya memerintah
sekadar melunaskan tuntutan duniawi sahaja, ataupun pemerintahan mereka itu
adalah berasaskan urusan agama.
ISLAM
DAN POLITIK
Sudah terang lagi bersuluh bahawa hubungan antara agama
dan negara dalam Islam tidak boleh terpisah dan tidak boleh dipisahkan lagi.
Terlalu banyak keterangan-keterangan yang menunjukkan bahawa pemerintahan
Rasulullah SAW adalah pemerintahan negara berdasarkan wahyu. Antara bukti yang
nyata adalah terdapatnya piagam Madinah, ataupun perlembagaan Madinah, yang
juga dikatakan merupakan perlembagaan bertulis yang pertama dalam sejarah,
perutusan surat kepada ketua-ketua negara. Sepanjang sejarah, umat Islam tidak
pernah mengenali adanya pemisahan antara agama dan dunia, agama dan politik,
atau agama dan negara seperti sekarang ini. Dulu Rasulullah SAW adalah pemegang
tampuk pemerintahan samada agama ataupun dunia, kerana itu fuqaha kemudian
membahagikan ajaran dan sikap baginda menjadi tiga. Pertama; baginda sebagai
Nabi yang menyampaikan wahyu Allah. Kedua; baginda sebagai hakim yang membuat
keputusan hukum. Ketiga; baginda sebagai ketua negara yang menangani persoalan
bangsa[1].
Begitu juga khalifah-khalifah sesudah Rasulullah SAW sejak zaman Khulafa
ArRasyidin, Dinasti Ummayyah, Dinasti Abbasiyah, Dinasti Uthmaniyah dan
dinasti-dinasti lainnya sehinggalah khilafah dihapuskan pada zaman tahun 1924 [2].
Jadi, tulisan ini tidak berhasrat untuk membahaskan secara panjang lebar,
sekadar membawa sedikit-sebanyak kisah-kisah atau peristiwa-peristiwa zaman Abu
Bakar As siddiq RA.
PERLANTIKAN
ABU BAKAR SEBAGAI KHALIFAH YANG PERTAMA
Selepas kewafatan Rasulullah SAW,
pelantikan Abu Bakar RA dibuat dengan segera oleh para sahabat RA, bertempat di
Thaqifah Bani Saidah. Suasana semasa pelantikan agak tegang, kerana
masing-masing Ansar dan Muhajirin bertegas bahawa khalifah mestilah DARI kalangan
mereka. Kaum Ansar berpendapat mereka lebih layak dipilih kerana jihad mereka
bersama Rasulullah SAW dengan penuh
pengorbanan. Allah memuji mereka di dalam Al Quran dan disokong oleh
hadis-hadis Rasulullah. Mereka mencalonkan pemimpin mereka iaitu Saad bin
Ubadah. Kaum muhajirin pula berpendapat bahawa mereka juga layak kerana mereka
adalah kaum yang pertama memeluk Islam, berdakwah sejak permulaan, menghadapi
ujian dahsyat ketika di Makkah, seterusnya berhijrah dan berjihad bersama-sama
Rasulullah SAW. Namun begitu, ketegangan dapat dielakkan. Pemimpin kedua-kedua
belah pihak bertemu Abu Bakar RA dan menuju Thaqifah Bani Sa’idah. Ketika
itulah Abu Bakar menunjukkan ketokohannya memimpin dengan berjaya menenangkan
khalayak dengan ucapannya. Selepas itu, beliau mencalonkan Umar RA dan Abu
Ubaidah Al Jarrah menjadi khalifah. Namun, selepas itu, Umar dan Abu Ubaidah
pula bangun mencalonkan Abu Bakar RA, diikuti pula oleh sahabat-sahabat Ansar
dan Muhajirin yang lain. Lalu rasmilah Abu Bakar RA menjadi khalifah[3].
LANGKAH PERTAMA
Perkara pertama yang dibuat oleh Abu
Bakar adalah membentuk kabinet kerajaan ataupun jemaah menteri ataupun ahli
mesyuarat. Ini sama seperti yang diamalkan di zaman moden ini. Antara jawatan-jawatan yang
diperuntukkan adalah berkenaan urusan kehakiman, yang diserahkan kepada Umar Al
Khattab RA, urusan kewangan , Abu Ubaidah RA, urusan setiausaha negara, Zaid
bin Thabit , dan kadang-kadang dibantu oleh Uthman bin Affan RA dan Ali Bin Abi
Talib RA. Jika diperhatikan, orang-orang yang dilantik itu merupakan
sahabat-sahabat besar RAsulullah SAW, menunjukkan bahawa Abu Bakar mementingkan
penerimaan orang ramai terhadap kabinetnya, disamping keupayaan yang memang
sudah terbukti oleh orang yang dilantik ke dalam kabinetnya[4].
MENGHADAPI GOLONGAN MURTAD
Ini adalah antara cabaran yang
paling getir kepada umat Islam sepeninggalan Rasulullah SAW, dan peristiwa yang
benar-benar menguji kewibawaan Abu Bakar RA sebagai seorang khalifah.
Aisyah RAH mengatakan bahawa
kewafatan Rasulullah SAW adalah seperti perginya pengembala kambing
meninggalkan kambing gembalaannya, di malam gelap gelita dan hujan lebat[5].
Perselisihan mula terjadi, walaupun sedikit, sehinggalah membawa kepada murtad, ditambah lagi
kewujudan nabi-nabi palsu seperti Musailamah Al Kazab.
Golongan-golongan menyeleweng dan
murtad itu terdiri daripada berbagai-bagai keadaan. Pertama, mereka keluar
Islam sepenuhnya dan kembali kepada agama nenek moyang mereka. Mereka ini
adalah dikalangan bangsa Arab yang akidah mereka rapuh, masuk Islam ketika
hayat Rasulullah SAW kerana takutkan kemenangan Islam atauoun mahukan
harta-harta rampasan perang yang dibahagikan oleh Rasulullah SAW. Mereka
menggangap dengan kewafatan Rasulullah SAW, Islam sudah mula lemah.
Kedua,
mereka-mereka yang menjadi pengikut kepada nabi-nabi palsu, pembohong besar.
Mereka terdiri daripada Bani Toe, Bani Asad dan Bani Ghoftan, yang mengikuti
pembohong besar Tulaihah bin Alkhuwailid Al asadi. Musailamah Al kazab pula
diikuti oleh Bani Hanifah, dan Sijah, nabi palsu wanita, diikuti oleh Bani
Tamim, Tahglib dan Robiah.
Ketiga, mere-mereka yang menafikan
kewajipan membayar zakat. Walaupun mereka masih bersembahnyang, mereka menolak
bahawa urusan harta juga termasuk dalam kewajipan yang perlu ditunaikan[6].
Periatiwa kemunculan Nabi palsu itu
diberitakan oleh Rasulullah SAW sendiri, melalui wahyu daripada Allah yang
berbentuk mimpi. Nabi SAW menyebutkan dalam khutbahnya,
“Wahai semua orang yang hadir, aku
bermimpi melihat Lailatul Qadar, kemudian diliupakan dan aku bermimpi dua
gelang emas di lenganku dan aku bencikannya. Kemudian aku meniup ke arah
kedua-duanya, lalu kedua-dua gelang itu tercabut. Maka aku tafsirkan mimpi itu
dengan dua pembohong, satu yang berada di Yaman( Tulaihah) dan satu lagi berada
di Yamah( Musailamah)[7].
Lalu Abu Bakar RA memanggil
sahabat-sahabat untuk bermesyuarat. Dan timbul satu pendapat yang mengatakan
biarkanlah mereka-mereka yang tidak menunaikan zakat itu, kerana mereka masih
bersembahyang, dan dipersetujui oleh Umar RA. Lalu, dengan tegas Abu Bakar RA
menjawab bahawa dia akan memerangi mereka-mereka yang membezakan kewajipan
solat dan zakat, dan dia akan memerangi mereka itu walaupun berseorangan. Lalu,
barulah sahabat-sahabat sedar dan menyokong keputusan Abu Bakar RA tersebut.
Lalu perancangan diatur dengan rapi,
dan golongan yang murtad itu diperangi secara menyeluruh. Kisah peperangan ini
sangat panjang, cukuplah disini sekadar kesimpulan bahawa tentera Islam berjaya
menumpaskan golongan murtad itu, dan berjaya mengembalikan keamanan di seluruh
wilayah Islam. Peristiwa ini jelas
menunjukkan bahawa dalam Islam, urusan agama adalah urusan negara. Ini kerana
murtad itu adalah urusan agama, tetapi Abu Bakar RA menanganinya dengan kuasa
ketenteraan, yang merupakan urusan negara.
SISTEM KHILAFAH
Ini adalah bahagian terakhir dalam tulisan yang ringkas ini. Dalam bahagian ini, kita akan melihat secara ringkas sistem pemerintahan Abu Bakar RA melalui beberapa aspek.
Pertama, pentadbiran. Keluasan negara Islam zaman Abu Bakar RA hanya merangkumi Semenanjung Arab, yang keseluruhannya dikuasai Islam. Khalifah membahagikannya kepada beberapa wilayah. Setiap wilayah dilantik ketua pentadbiran yang dinamakan sebagai Amir( gabenor). Mereka menjadi imam sembahyang, hakim, menguruskan kewangan, keamanan dan pemerintahan tentera, dibantu oleh orang yang mahir dalam bidang masing-masing[8].
Kedua adalah aspek kehakiman dan
perundangan. Abu BBakar ra secara langsung menjadi hakim. Walaupun Umar ra juga
ditugaskan menjadi hakim, namun tidak ada kes yang dikendalikan kerana ramai
yang tidak berani berdepan denghnnya. Khalifah juga menugaskan peranan hakim
kepada Uthman ra, Ali b Abi Talib, kadang-kadang kepada Abu Ubaidah dan Zaid
bin Thabit rhm[9].
Ketiga dalah aspek kewangan. Sumber
kewangan pada zaman Abu Bakar ra adalah sama dengan pada zaman Rasulullah SAW,
iaitu zakat, ghanimah( rampasan perang), faie( harta yang diambil tanpa
perang), jizyah( cukai yang dikenakan terhadap non-muslim) dan sedekah daripada sesiapa sahaja. Untuk tujuan
pengurusan kewangan, Abu Bakar ra menubuhkan Baitul Mal, iaitu tempat menyimpan
harta kerajaan yang terletak di Sanah tanpa pengawal, lalu dicadangkan
kepadanya supaya meletakkan pengawal. Kemudian , Baitul Mal itu dipindahkan ke
rumah khalifah[10].
Ini juga menunjukkan hubungan secara langsung antara agama dan negara, kerana
zakat itu merupakan perintah agama, dan dijalankan sebagai urusan negara.
KESIMPULAN
Melalui ringkasan diatas, jelas menunjukkan bahawa agama dan negara tidak dapat dipisahkan. Seperti kata-kata Imam Malik rhm, sekiranya Nabi SAW mengajarkan ummatnya beristinja, mana mungkin urusan pentadbiran negara tidak diajar. Juga lenyaplah hujjah batil golongan yang mengatakan bahawa pemerintahan khalifah-khalifah selepas Rasulullah SAW adalah bersifat keduniaan semata-mata, melalui tindakan-tindakan yang telah ditunjukkan oleh Abu Bkar ra. Oleh itu, sebarang percubaan untuk memisahkan agama dan politik terhadap ummat Islam adalah sia-sia, kerana akan sentiasa ada sekelompok daripada umat ini yang akan bangkit menentang penyelewangan, mereka itu tidak akan dimudharatkan oleh musuh-musuh mereka, sehinggalah Allah mendatangkan urusannya. Wallau’alam.